Photobucket

Thursday, September 15, 2011

Ganti rugi: Eloklah Dato' Nan lepas jawatan

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad menyifatkan Kerajaan Negeri Pahang sebagai "kerajaan samseng" kerana enggan membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM70 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat angkuh apabila tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Kuantan agar membayar ganti rugi tersebut.

"Dalam kes ini, Kerajaan Pahang seperti samseng bila melanggar arahan mahkamah untuk bayar saman kepada Seruan Gemilang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sepuluh pemegang saham syarikat tersebut yang mengadakan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di Segambut bermula Khamis lepas bagi mendesak Adnan melunaskan ganti rugi itu.

Dua daripada mereka sudah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital selepas hanya minum air kosong sejak bermula mogok lapar itu.

Johnson Chong, 68, dibawa pulang ke rumah selepas pemeriksa doktor Sabtu lalu dan diikuti Ramli Sulaiman, 42, yang dimasukkan ke hospital kelmarin.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Pahang tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat bertanggungjawab menjelaskan bayaran itu.

"Kerajaan Pahang mungkin bankrap, sebab itu tak bayar ganti rugi ini. Kerajaan Pusat mestilah tolong jelaskan bayaran kerana ianya hak pemegang saham.

"Mereka mahu hak mereka sebab itu sanggup adakan mogok lapar sehingga jatuh sakit," katanya.

Tegasnya, Adnan harus bertanggungjawab kerana perkara itu sudah diketahui umum dan menjejaskan reputasi kerajaan negeri di bawah pimpinan BN.

"Kalau Adnan rasa tak mahu pikul tanggungjawab, eloklah lepaskan jawatan sahaja," katanya.

Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.

Friday, June 17, 2011

711 peneroka Jengka pula saman Felda


TEMERLOH, 17 Jun: Seramai 711 peneroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh Jengka memfailkan saman berjumlah RM344 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah dalam urusan jualan hasil sawit.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, selaku defendan kedua.

Dalam kenyataan tuntutan, mereka mendakwa sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred (KPG) sejak 15 tahun yang lalu hanya 18.5% seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS, iaitu resit yang diberikan bagi setiap lori yang menghantar tandan buah sawit.

“Sedangkan tidak ada bukti jelas yang menunjukkan bagaimana Felda Palm Industries menetapkan kadar yang berbeza itu, yang diberikan setiap hari di setiap tempat penghantaran.

“Peneroka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila kadar KPG sawit yang mereka terima tidak menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” kata peguam Sivarasa Rasiah yang membacakan kenyataan tersebut kepada media.

Tambahnya, berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada penerokapeneroka melalui wakil mereka, telah menghantar contoh hasil buah kelapa sawit mereka kepada tiga makmal bebas untuk menilai kadar sebenar KPG.

“Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadarnya ialah 31.5% dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27%. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5% yang digunakan oleh defendan kedua.

“Kami mempunyai bukti menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang dan dibayar oleh Felda dengan purata harga RM560.

“Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja. Justeru peneroka menganggap telah berlaku penipuan dan pecah amanah,” katanya.

Menurut Sivarasa, semua peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

Dalam pada itu, peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka.

Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 15 tahun.

“Ini bermakna dalam tempoh yang sama, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 711 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM344 juta,” kata Sivarasa yang mengetuai panel peguam.

Sementara itu, Sivarasa berkata laporan ini merupakan kes pertama di Pahang dan yang keempat di Malaysia melibatkan peneroka menyaman Felda dalam isu KPG.

Sebelum ini sudah terdapat peneroka di Felda Kemahang, Moakil dan Serting.