Thursday, September 15, 2011

Ganti rugi: Eloklah Dato' Nan lepas jawatan

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad menyifatkan Kerajaan Negeri Pahang sebagai "kerajaan samseng" kerana enggan membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM70 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat angkuh apabila tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Kuantan agar membayar ganti rugi tersebut.

"Dalam kes ini, Kerajaan Pahang seperti samseng bila melanggar arahan mahkamah untuk bayar saman kepada Seruan Gemilang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sepuluh pemegang saham syarikat tersebut yang mengadakan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di Segambut bermula Khamis lepas bagi mendesak Adnan melunaskan ganti rugi itu.

Dua daripada mereka sudah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital selepas hanya minum air kosong sejak bermula mogok lapar itu.

Johnson Chong, 68, dibawa pulang ke rumah selepas pemeriksa doktor Sabtu lalu dan diikuti Ramli Sulaiman, 42, yang dimasukkan ke hospital kelmarin.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Pahang tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat bertanggungjawab menjelaskan bayaran itu.

"Kerajaan Pahang mungkin bankrap, sebab itu tak bayar ganti rugi ini. Kerajaan Pusat mestilah tolong jelaskan bayaran kerana ianya hak pemegang saham.

"Mereka mahu hak mereka sebab itu sanggup adakan mogok lapar sehingga jatuh sakit," katanya.

Tegasnya, Adnan harus bertanggungjawab kerana perkara itu sudah diketahui umum dan menjejaskan reputasi kerajaan negeri di bawah pimpinan BN.

"Kalau Adnan rasa tak mahu pikul tanggungjawab, eloklah lepaskan jawatan sahaja," katanya.

Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.