Photobucket

Wednesday, March 10, 2010

GST ungtungkan UMNO...tapi, umno di cawangan tetap MISKIN!

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

UMNO yang menyeksa rakyat!!!

"Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak melihat apa-apa faedah kepada rakyat terhadap dasar Kerajaan BN yang secara tiba-tiba mengumumkan pemansuhan cukai import bagi pembelian baru kereta buggy untuk kegunaan kelab-kelab golf di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa ini sebuah kereta buggy yang standard diperingkat antarabangsa boleh memuatkan dua orang pemain dengan membawa peralatannya sekali adalah berharga sekitar RM 12 ribu-RM 60 ribu, tidak termasuk harga cukai.

Namun, penggunaan kenderaan jenis ini adalah terhad untuk kegunaan di padang-padang golf mewah untuk pemain-pemain golf. Menurut laman web golf-malaysia.com, Malaysia cuma mempunyai 162 Kelab golf sahaja diseluruh negara dengan kadar yuran keahlian paling rendah adalah RM 4,000 setahun.

Pemain-pemain Golf tempatan kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang berpendapatan tinggi. Walaupun sudah ada mereka yang berpendapat sederhana bermain golf tetapi hanya sebagai aktiviti santai dan riadah, bukannya untuk menjana pendapatan negara. Mereka yang mengunakan Kereta buggy ini pula hanya golongan mewah, sedangkan pemain golf yang biasa hanya berjalan kaki keliling padang golf.

Di Malaysia kita mempunyai kurang 20 orang pemain profesional yang didahului oleh Danny Chia dan M. Sasidaran. Sedangkan ramai yang lain adalah pemain amatur dan Golf bukanlah kerjaya tetap mereka.

Harapan Malaysia menjadikan 162 Kelab yang ada sebagai destinasi pelancongan bagi peminat Golf tetap boleh terlaksana walaupun Kerajaan tidak mengenakan pengecualian cukai.

Rakyat semakin pelik dengan dasar Kerajaan hari ini, minggu lepas Kementerian kewangan mengumumkan bakal mengurangkan kadar Cukai pendapatan dan Cukai Syarikat. Semalam, cukai kereta buggy pula. Yang pasti Kerajaan cuba mengurangkan cukai-cukai yang dinikmati oleh orang-orang kaya dinegara ini dan kemudiannya mengalihkan beban cukai itu kepada skim cukai baru bernama cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan ke atas semua barangan. Kesannya akan dirasai oleh semua lapisan rakyat bukan golongan kaya sahaja.

Walaupun cukai ini hanya 4 peratus, tetapi ianya dimasukkan secara langsung dalam harga barangan keseluruhan yang dibeli melalui pengusaha-pengusaha kilang, pasaraya dan sebagainya. Tiada rakyat yang akan terkecuali dalam cukai ini dan ia jelas akan membebankan semua pihak tanpa mengira berapa jumlah pendapatan mereka.

Jika beginilah keadaannya rakyat yang kaya akan terus kaya. Setiap tahun rakyat yang miskin hanya mampu melihat senarai 40 orang terkaya di Malaysia termasuk adik Perdana Menteri, sedang mereka menjadi semakin miskin kerana terpaksa membeli barang-barang dengan harga yang mahal.

Orang-orang kaya mungkin tiada masalah membayar RM 4 ribu setahun untuk jadi ahli Kelab Golf, tetapi bagi orang miskin mereka terpaksa belanjakan jumlah yang sama pula untuk tampung kos GST yang dikenakan ke atas mereka.

PAS tidak setuju Kerajaan memansuhkan cukai kereta Buggy dan menolak GST dilaksanakan dinegara ini. Sewajarnya Kerajaan menyusun struktur cukai agar orang-orang kaya dapat memberikan banyak sumbangan pada negara untuk kepentingan rakyat yang miskin yang bekerja untuk mengkayakan mereka. Kerajaan perlu berhemah dalam berbelanja dan bijak menguruskan sistem cukai negara tanpa membebankan rakyat yang tidak sepatutnya dibebankan dengan pelbagai jenis cukai."