Thursday, January 21, 2010

Penduduk Matau nekad pertahan kediaman

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Penduduk kawasan Matau dekat sini, bertegas akan mempertahankan kediaman mereka meskipun sudah mendapat ugutan perumahan mereka akan dirobohkan dalam masa terdekat oleh pemaju.

Bagi mereka, kawasan kediaman yang telah diteroka sejak hampir setengah abad itu perlu dipertahankan setelah pemaju enggan berunding langsung walaupun mereka sudah banyak berlembut.

Keputusan tegas ini diambil penduduk semasa dialog dengan peguam mereka baru-baru ini, setelah pihak Majis Daerah Maran (MDM) selaku pemaju enggan bertolak ansur mendengar rayuan mereka dan surat arahan berpindah dikeluarkan sejak tahun lalu.

Salah seorang wakil penduduk yang dikenali sebagai Haji Saleh, berkata 300 penduduk Matau bukannya degil dan akur dengan hasrat kerajaan untuk membesarkan jalan Bandar Jengka dan mencantikkan kawasan, cuma mahu berunding tentang hak mereka.

“Kalau kata nak buat besarkan jalan kerajaan ambillah, janji kami tidak dihalau sebab di sinilah tempat kami... dah takda tempat lain dah. Kalau kerajaan halau kami untuk dibuat bangunan hampir setengah juta bila siap nanti, siapakah orang Melayu yang mampu membelinya jika tidak bangsa lain?”

“Sebenarnya tempat lain di Bandar Jengka ini luas lagi untuk dimajukan kenapa pilih tempat penduduk yang sudah tinggal di sini sejak puluhan tahun? Di sini ada 33 buah kedai semuanya dan kami sanggup buat lot kedai sebelah depan jika sekarang ini cacatkan pemandangan”.

“Kami pun dah jenuh menderita. Bayangkan pihak berkuasa bagi premis niaga, ambil cukai pintu tapi kemudahan bekalan air paip tak salurkan. Sebenarnya dah lama hak kami dinafikan”.

“Lagi pun cuba tengok di Sungai Jerik, dalam daerah Maran ini juga... kenapa boleh buat kedai untuk penduduk yang meneroka tanah di sana yang berbangsa Cina. Lagikan bukan bangsa Melayu pun boleh bangunkan dengan tidak ketepikan peneroka asal. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya... kenapa boleh? Sebab itu saya rasa ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu saja!”

Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja sebuah syarikat pembalakan dari Kanada yang beroperasi di situ. Selain daripada itu ada juga penghijrah-penghijrah dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh MDM dan penduduk telah dikenakan bayaran Tol (cukai pendudukan tanah sementara). Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran Tol seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga seringkali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

Kini terdapat kira-kira 300 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu dan 90 peratus daripadanya ialah ahli Umno. Terdapat 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 22 ekar itu.

Baru-baru ini MDM telah mengeluarkan notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut. Alasannya MDM telah menandatangani satu perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd. pada 30 Jun 2008 untuk memajukan tanah di Matau dan sepatutnya pemaju telah memasuki kawasan berkenaan pada 1 April 2009 lalu tetapi tertangguh kerana keengganan penduduk berpindah.

Arahan berpindah itu, didakwa penduduk tidak langsung menyebutkan ke mana tempat cadangan berpindah dan sebarang pampasan. Keadaan ini menyebabkan penduduk kebingungan dan berada dalam dilema.

Peneroka asal Matau, Mariam Putih, 64, yang menetap di sini sejak tahun 1969 dengan berniaga kecil-kecilan, enggan berpindah kerana bagi beliau di situlah tanah airnya sedangkan tidak ada tempat perpindahan disediakan.

“Disuruh pindah, kami nak pindah ke mana? Bukan mudah nak beli rumah pada usia macam makcik ni. Kalau menyewa nak bayar macam mana kalau sumber rezeki saya dirampas?”.

“Saya duduk di sini sejak balak tengah tebang, Bandar Jengka ini pun belum ada lagi. Di tapak inilah saya duduk tak pindah-pindah. Dah tiga orang suami saya tinggal di sini dan dah ada cicit yang lahir di sini. Seorang cucu saya dah berjaya jadi doktor. Bagi saya kalau kena halau ini sedih sangat, tempat berpindah dia tak bagi jadi nak pindah ke mana. Jadi nak pergi ke mana lagi?” soalnya.

Bekas Penerokawati Terbaik Kebangsaan Kamariah Osman, 63, yang juga peneroka asal Matau, mahu kerajaan berdialog dengan penduduk supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan.

“Pendapat saya baiklah kerajaan buatkan lot elok-elok diberikan kepada penduduk sedia ada. Pulangan hasilnya kepada kerajaan juga. Kalau bina bangunan mahal-mahal tapi orang Melayu tempatan tak mampu beli, apa yang nak dimegahkan?”, soalnya.

“Tempat ini kami yang teroka dan majukan. Jika kerajaan nak bina rumah kedai berharga setengah juta, binalah di tempat lain sebab kami tak mampu nak beli semula nanti. Jika tidak yang akan berniaga di sini hanya orang bukan Melayu. Sedangkan hasrat Tun Razak dulu wujudkan Bandar Jengka ini untuk orang Melayu seratus peratus,” katanya.

Sementara itu antara penduduk tertua di Matau, Yaakub Ahmad, 74 kesal dengan sikap pemimpin yang berjanji untuk selesaikan masalah setiap kali pilihan raya

“Apabila setiap kali PRU setiap kali itu jugalah harapan kami dipermainkan, lepas itu senyap,” ujarnya.

Sementara itu, peguam yang dilantik penduduk, Ahmad Nizam Hamid berkata pihaknya akan membantu penduduk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Sultan Pahang dan Perdana Menteri sebelum membawa kes ini ke mahkamah.

Sumber

No comments:

Post a Comment