Thursday, April 8, 2010

Apa dia kerja-kerja 'Gila' Umno?

Semasa keluar daripada 'pharmacy' tadi kerana membeli sedikit vitamin, almaklumlah kerana 'enjin' lama memerlukan bermacam-macam 'oil-additives', terserempak dengan rakan surau, seorang Umno totok. Oleh kerana 'pharmacy' itu berdekatan dengan kedai mamak maka diajak singgah minum dan bersembang-sembang politik.

Saya mintak teh-tarik kurang manis dan 'toseh basah' (kurang garing) dan seketul kari ekor tenggiri. Ramai orang suka kepala ikan, tapi saya suka ekor ikan. Dari segi kesegaran ikan sama saja, kalau kepala ikan itu sudah 'busuk', ekornya pun turut terasa 'busuk'. Kalau kepala ikan itu 'segar', ekornya pun turut 'segar'.

Kali ini entah kenapa dia yang banyak bercakap pasal luar dan dalam Umno. Saya hanya banyak menjadi pendengar. Kata orang-orang tua, kalau kita nak dapatkan rahsia luar dan dalam, kita kena banyak menjadi 'pendengar'. Memang betul, bermacam-macam cerita hal luar dalam Umno yang tak dapat dimuatkan kesemuanya di sini saya dapat.

Katanya, "Umno Selangor kalau nak gemilang seperti dulu-dulu, mesti buat kerja-kerja 'gila' sikit."

Sambungnya, "Tengok, semasa zaman Allahyarham Dato' Harun, Umno selangor kuat dan Dato' Harun sendiri pun ramai yang cemburu dengan dia. Dia bawa Muhammad Ali lawan dengan Joe Bugner. Dia juga jadi juara setinggan. Dia juga naikkan Silat Gayung, bila naikkan Silat Gayung, maknanya naikkan melayu kerana melayu sinonim dengan silat dan keris."

Dalam hati saya, tak habis-habis Melayu dengan keris. Kenapa Dato' Harun tak perjuangkan Islam? Kenapa tak perangi rasuah?

Tak apa, saya layan dulu 'ceramah'nya, lain kali saya akan 'bantai' balik.

Sambil mendengar 'ceramah' politiknya, tak sedar 'toseh' dah habis. Dia tolong mintak tambah lagi dengan mamak, "mamak, toseh tambah satu, basah tahu". Saya tak menolak sebab nak dengar 'ceramah'nya lagi.

Sambungnya lagi, "Allahyarham Dato' Harun banyak berkorban. Dia buat kerja bukan untuk dirinya, tapi untuk parti dan orang melayu. Dia dianianya. Tak macam sekarang, pemimpin pikul duit berkilo-kilo ke hulu ke hilir, buat rumah macam istana, semua untuk diri sendiri. Tak ikhlas berjuang."

Saya mencelah, "Nak tepat lagi, 20 kilo. 'Istana' berjuta-juta."

Sambil dia ketawa besar, "Sama berat dengan sekampit beras tu. Kesemua tingkap 'Istana' tu, sebulan pun tak habis bukak, punyalah banyak."

Saya sempat men'jolok'nya siapakah pemimpin Umno Selangor sekarang yang menepati buat kerja-kerja 'gila' yang dia maksudkan dan serba sedikit pasal PRK Hulu Selangor.

Dengan nada penuh yakin dia menjawab, "Noh Omar. Dia hebat tapi tak cukup kerja-kerja 'gila'. Pasal PRK Hulu Selangor ya, saya rasa BN sakit sikit. Kalau BN letak Palanivel lagi banyak-banyak sakit."

'Ceramah'nya boleh tahan jugak panjang dan masing-masing menoleh ke jam.

Sambil kami mengeluarkan dompet dan berebut-rebut nak bayar, sempat dia mengeluh, "PRK kali ni adalah yang paling sengit. Towkay-towkay besar dah mula 'betting', PKR/Pakatan Rakyat boleh simpan balik semula kerusi tu."

Sebelum beredar dan sambil ucapkan terima kasih kerana belanja 'toseh', sempat saya mengusiknya, "Kita jumpa disana ya."

Kepalanya menggeleng-geleng dan berkata, "Kalau Umno masuk, nak jugak pergi, kalau MIC, kirim salam sajalah, 'janji jugak lebih, habuk tarak'."

>>Al-Brangi

No comments:

Post a Comment